Jumaat, 19 Oktober 2007

PETIKAN SEJARAH BORIA DI P. PINANG

MAHANI MUSA USM P. PINANG MENULIS.....

KLIK LENGKAP

Boria Sebagai Saluran Merekrut Ahli Baru
Hasrat kerajaan untuk menyaksikan kegiatan kongsi gelap di negeri itu berkuburnya nampaknya tidak tercapai. Kegiatan tersebut di kalangan orang Cina mahupun Melayu masih berterusan namun dalam keadaan yang lebih tertutup untuk mengelakkan pengawasan polis. Kawalan ketat kerajaan ke atas kongsi Cina sebenarnya turut meninggalkan kesan kepada kongsi gelap Melayu. Mereka kini kehilangan penaung. Kegiatan kongsi Melayu kelihatan hilang arah dan muncul dalam berbagai bentuk di akhir abad ke-19, daripada kegiatan samseng jalanan hinggalah kepada permusuhan di tanah perkuburan dan perpecahan di masjid. Penyamaran ini berterusan sehingga abad ke-20 menerusi penubuhan kelab-kelab bolasepak untuk mengaburi mata pihak berkuasa.Tulisan tentang boria telah banyak dihasilkan setakat ini. Namun peranan boria sebagai saluran memperkembangkan kegiatan kongsi gelap Melayu tidak banyak diperkatakan. Permainan ini dipercayai lahir daripada perarakan oleh orang Muslim Shiah sewaktu bulan Muharram. Mereka membentuk kumpulan yang menyanyikan lagu-lagu ratapan sebagai mengenang kembali peristiwa kematian Saidina Husin di peperangan Karbala pada hari ke-10 bulan Muharram sewaktu menentang Yazid bin Muawiyah. Corak sambutan yang aman ini tidak kekal lama kerana selepas itu ia mula dipergunakan oleh ahli kongsi gelap Melayu sebagai medan untuk tunjuk siapa lebih handal. Vaughan pernah menyaksikan bagaimana kumpulan muzik yang terdiri daripada anak-anak muda ini bertindak di luar batasan dan menganggu orang lain yang benar-benar ingin menyambut sambutan tersebut. Mereka bukan sahaja mengubah sambutan tersebut kepada pesta sukaria namun juga menjadi medan pertumpahan darah. Perubahan ini dapat dikesan melalui lagu-lagu yang dinyanyikan yang bukan lagi berunsur ratapan tetapi lebih kepada cabar mencabar untuk membangkitkan kemarahan pihak lawan.

Kawalan kerajaan selepas Rusuhan Pulau Pinang 1867 menjadikan boria sebagai saluran penting untuk meneruskan kegiatan Bendera Putih dan Bendera Merah. Boria menjadi saluran mendapatkan ahli-ahli baru*(23). Setiap kawasan yang terlibat dalam kumpulan Bendera menubuhkan pasukan boria masing-masing. Boria melambangkan prestij dan pengaruh ketika itu. Sesebuah kampung atau mukim yang tidak mempunyai kumpulan boria dianggap memalukan*(24). Peluang untuk bergerak juga lebih cerah kerana kerajaan melihat boria sebagai suatu bentuk budaya. Malah ia begitu diminati bukan sahaja oleh orang Melayu-Muslim tetapi juga oleh pegawai kerajaan, orang Eropah yang tinggal di negeri itu dan juga orang-orang Cina. Malah taukeh-taukeh Cina turut menaja sesebuah kumpulan boria. Perkara ini bukanlah luarbiasa ekoran persahabatan yang telah sekian lama wujud di antara kongsi gelap Cina dengan kongsi gelap Melayu.

Menjelang 1920, terdapat sekurang-kurangnya empat puluh hingga lima puluh pasukan boria di Pulau Pinang yang masing-masing bernaung di bawah Bendera Putih dan Bendera Merah. Di antara pasukan boria di bawah pengaruh Bendera Merah ialah Boria Mukim Jelutong, Boria Kampung Pinang, Boria Bagan Jermal, Boria Jalan Hatin, Boria Sungai Gelugor, Boria Kampung Rawana, Boria Kelawai, Boria Gedung Rumput (sekarang King Street), Boria Kampong Ambun (sekarang Penang Road-Northam Road), Boria Ujung Pancur (sekarang Transfer Road-Northam Road) dan Boria Argyl Road.

Menjelang 1920, terdapat sekurang-kurangnya empat puluh hingga lima puluh pasukan boria di Pulau Pinang yang masing-masing bernaung di bawah Bendera Putih dan Bendera Merah. Di antara pasukan boria di bawah pengaruh Bendera Merah ialah Boria Mukim Jelutong, Boria Kampung Pinang, Boria Bagan Jermal, Boria Jalan Hatin, Boria Sungai Gelugor, Boria Kampung Rawana, Boria Kelawai, Boria Gedung Rumput (sekarang King Street), Boria Kampong Ambun (sekarang Penang Road-Northam Road), Boria Ujung Pancur (sekarang Transfer Road-Northam Road) dan Boria Argyl Road.

Pasukan boria yang berada di bawah pengaruh Bendera Putih pula seperti Boria Titi Papan (sekarang Penang Road-Chowrasta Market), Boria Padang Garam (sekarang Carnavon Street-Kimberley Street), Boria Tanjong Tokong, Boria Air Itam, Boria Kampong Jawa, Boria Kampong Dodol, Boria Kebun Lama, Boria Kampong Makam, Boria Kampong Kolam, Boria Jalan Sampah (sekarang Acheen Street), Boria Lorong Takian (sekarang Ah Quee Street), Boria Kampong Lada (sekarang Armenian Street), Boria Pintal Tali (sekarang Rope Walk) dan Boria Bakar Bata (sekarang Bricklin Road)*(25). Contoh pantun boria yang bersifat cabar mencabar di antara pasukan Bendera Putih dan Bendera Merah adalah seperti berikut:

Nota Hujung

*(23)
"The Boria in Perak," The Malayan Police Magazine, 8 (1), 1935, hlm. 26-7
*(24)
Haji Abu Bakar bin Jaafar (Pak Kan) 1980. "Boria", Siri Mengenal Budaya, Bil. 5, Kuala Lumpur: Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hlm. 8
*(25)
Mahd. Ishak Abdul Aziz 1979. "Sejarah Boria," Kuala Lumpur: Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia, Lampiran A.

Boria Tanjung Tokong (Bendera Merah)
Kita askhar di Tanjong Janggi
Kerja menanam gandun barley
Masok berniaga di tanah Jawi
Tanjong Tokong sedia menanti

Boria Mukim Kelawai (Bendera Merah)
Badui tua di kaki bukit
Keluar menjaga Masyrik ke Maghrib
Badui Arfah ampunya murid
Mukim Kelawai sedia tauhid

Boria Kampong Jawa (Bendera Putih)
Askar Takrubi kaum bebas
Padang peperangan baharu terlepas
Menangkap negeri terlalu pantas
Di kampong Jawa aturan jelas*(26)

Boria Padang Garam (Bendera Putih)
Askar Yunan Kuantong sama
Sudah 'resi' daripada Cina
Keluar mencari som kom koma
Anak Padang selamat sempurna


Permainan boria meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat Melayu-Muslim di Pulau Pinang. Selain daripada memecah-belahkan orang Islam kepada hidup berpuak-puak mengikut kawasan pengaruh kumpulan Bendera, ia menjadikan orang Melayu waktu itu mundur jika dibandingkan dengan bangsa lain. Selama berlangsungnya sambutan Muharram, anak-anak muda ponteng kerja dan kanak-kanak tidak bersekolah. Suami mengabaikan rumahtangga sehingga ada yang dibuang kerja kerana leka bermain boria. Agama Islam semakin tercemar kerana ahli pasukan boria biasanya minum arak sebelum bergaduh dengan pihak lawan*(27). Pengaruh Bendera Putih dan Bendera Merah hanya semakin berkurangan apabila langkah mengawal dan menghapuskan boria dibuat oleh kerajaan dan pemimpin-pemimpin agama di negeri itu menjelang abad ke-20.

KEMBALI KE WARISAN BORIA...






Tiada ulasan: