Khamis, 18 Oktober 2007

PIEE...

PIEE – KISAH HIDUPNYA……

Pie atau Shafiee Jaafar, 74, amat terkenal dengan jenaka loyar buruk. Pie akan menggunakan suku kata yang sama ketika berlawak atau berlakun sketsa boria. Gara-gara loyar buruk itulah, kumpulan Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang yang dianggotai Pie berjaya menjadi juara Pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM selama tujuh tahun berturut-turut pada awal 1980-an.

Boria adalah karangan, kata Pie. Kekuatan persembahan boria, menurutnya, bukan terletak pada nyanyian tapi lawak ataupun sketsa yang dipersembahkan oleh pelakon sebelum persembahan tukang karang dan sailor. “Lakonan yang ditonjolkan pelakon merupakan intipati kepada persembahan selepas itu.

Selalunya Pak Pie dan Pak Daud, pemimpin Boria Sungai Pinang, akan buat jenaka tentang isu-isu semasa. Bukan jenaka kosong tapi penuh dengan sindiran,’’ katanya ketika ditemui di lokasi filem Nana Tanjung di Shah Alam baru-baru ini. Pie, yang lebih senang membahasakan dirinya Pak Pie, mula menyertai pasukan boria Sungai Pinang pada tahun 1961 setelah berhijrah ke Tanjung, Pulau Pinang. Sebelum menyertai kumpulan boria, Pie lebih dikenali sebagai penyanyi dengan pancaragam Gurindam Hiburan Parti, Sungai Petani, Kedah.

Kumpulan tersebut sering mengadakan persembahan pada majlis kenduri kahwin. Antara lagu yang sering didendangkan ialah Di Manakan Ku Cari Ganti kerana lagu itu mempunyai maksud yang mendalam pada dirinya.

Bagaimanapun, jodoh Pie dengan kumpulan boria Sungai Pinang tidak berpanjangan kerana masuk sahaja tahun kelapan Pertandingan Dendang Rakyat, dia mengambil keputusan untuk berundur diri. Pie berazam tidak akan bermain boria lagi.
“Masa Pak Pie bersama Boria Sungai Pinang, kumpulan lain ada yang tidak mahu masuk bertanding sebab tahu asyik pasukan kami saja menang. Waktu itu terdapat kira-kira 32 buah kumpulan boria di Pulau Pinang.

“Memang Pak Pie suka boria tapi disebabkan ada orang tertentu yang nak tunjuk pandai dalam kumpulan itu, terus Pak Pie give up. Masa malam pertandingan lagi, Pak Pie cakap pada Pak Daud, menang atau kalau aku tetap nak keluar dan tidak akan main boria lagi,’’ luahnya.

Pak Pie yang pernah berlakon filem Anak Mami, Mami Jarum, Anak Mami, dan Nana Tanjung berkata, sewaktu zaman kemasyhuran Boria Sungai Pinang, dia pernah diundang oleh sebuah universiti untuk mengajar teknik berlawak.

Namun pelawaan itu ditolak dengan baik kerana bagi Pie lawak yang dipersembahkan selama ini bukan boleh dipelajari di mana-mana sekolah. Jelasnya, untuk berlawak seseorang perlu ada bakat dan kebolehan semula jadi. Kata Pie, jenaka yang dipersembahkan tidak boleh dirancang kerana semua perkara perlu dilakukan secara spontan dan yang penting setiap jenaka yang dibuat perlu ada landasan. “Mungkin disebabkan sudah lama berpasangan dengan Pak Daud dan Aman Tok Koya, jadi setiap kata-katanya Pak Pie boleh balas secara spontan. Begitu juga bila bergandingan dengan Pak Maidin. Pak Pie mula kenal dengan Pak Maidin pada tahun 1963. Kami sudah tahu apa yang nak dikatakan.

“Memanglah orang suka lawak Pak Pie yang loyar buruk ini tapi dalam kehidupan seharian mana boleh loyar buruk nanti kena ketuk teruk,’’ katanya sambil berseloroh. Datuk kepada 12 cucu dan seorang cicit itu tidak menggalakkan anak-anaknya mengikut jejaknya menjadi pelawak ataupun pelakon.

Setelah menghilangkan diri begitu lama dalam sketsa boria peminat-peminatnya dapat melihat kemunculannya berjenaka dalam sebuah sketsa boria dengan pelawak Imuda dalam salah satu majlis menerusi siaran langsung TV1 RTM bulan Januari lalu.

KLIK UNTUK KEMBALI KE ASAL…


Tiada ulasan: